Saya takkan tampil sesuka hati – Fattah Amin Rasa Ralat & Terkesan

KUALA LUMPUR: Aktor, Fattah Amin, menegaskan kemunculannya sebagai penyampai trofi pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-30, minggu lalu, adalah atas permintaan penganjur.

Justeru, beliau berasa ralat apabila dimaklumkan kemunculan di pentas bagi penyampaian trofi Anugerah Khas Juri adalah membabitkan pemenang FFM terdahulu.

Fattah turut berkata, kontroversi yang timbul tidak lebih daripada fitnah dan dia sendiri tidak mengenakan sebarang syarat bagi kemunculan pada mana-mana majlis.

“Semestinya saya berasa ralat dan terkesan apabila diberitahu mengenai gandingan penyampai bagi kategori itu adalah bekas pemenang FFM sebelum ini. Saya sama sekali tidak tahu menahu, sebaliknya sekadar memenuhi tanggungjawab atas permintaan penganjur.

“Beberapa minggu sebelum majlis, dimaklumkan kehadiran saya mengikut kontrak sebagai ‘trigg3r’ bagi memberikan elemen kejutan. Malah, saya juga tidak dimaklumkan mengenai kategori yang memerlukan saya naik ke pentas.

“Saya menganggap isu ini sebagai fitnah kerana saya tidak pernah meletakkan syarat, apatah lagi untuk tampil sesuka hati. Walaupun belum cukup lama berada dalam industri ini, saya tahu tindakan sebegitu adalah tidak profesional,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi lebaran, Fattastic Raya, di sini hari ini.

Terdahulu, isterinya, Nur Fazura, menyangkal dakwaan konon penampilannya dan Fattah sebagai penyampai trofi pada FFM lalu adalah atas permintaan peribadi, selain menjadi syarat yang perlu dipenuhi penganjur.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, pula menafikan dakwaan pihaknya bersetuju menampilkan Fattah bersama Fazura di pentas ketika penyampaian trofi terbabit.

“Jika apa yang berlaku ini adalah perancangan pihak Astro (penyiar), mereka harus bertanggungjawab dalam hal ini. Saya mohon mereka dapat memberikan jawapan secara bertulis kerana kami ada bukti mengatakan FINAS memang tidak tahu menahu mengenai elemen kejutan dinyatakan itu,” kata Idham kepada BH Online.

Menurut Fattah, sebagai selebriti, dia pasti terkesan dengan isu yang timbul kerana ia mencalarkan imej dan kredibiliti dirinya.

“Namun, saya akur dengan lumrah kehidupan sebagai anak seni. Perkara sebegini adalah sesuatu yang perlu saya tempuh.

“Permulaan saya dalam industri juga bukan dengan cara yang mudah. Pelbagai kritikan dan kecaman diberikan, namun ia menjadikan saya lebih matang. Saya pasti dugaan Allah ada hikmahnya,” kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 itu.

 

Sumber : BH ONline